Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Tiga saudara lemas di Bagan Lalang

SEPANG - Kegembiraan lima saudara mandi manda di pantai Bagan Lalang, di sini semalam berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka mati lemas manakala dua lagi berjaya diselamatkan.
   
Dalam kejadian 4 petang semalam, lima saudara itu sedang mandi manda di tepi pantai apabila dipercayai terperangkap berikutan air laut pasang.



Penolong Penguasa Bomba Zon KLIA Akmal Azizi Elias berkata mayat S. Mariayee, 59, ditemui di tepi pantai bersama seorang lagi saudaranya yang terselamat.
   
Mayat K. Saresh, 15, ditemui pasukan bomba dan penyelamat pukul 11.30 pagi tadi manakala mayat R. Sivaneswaran, 30, ditemui 2.45 petang ini.
   
"Semua mayat telah dibawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akmal Azizi berkata dua yang terselamat iaitu seorang lelaki berusia 19 tahun dan seoran wanita berusia 21 tahun kini berada dalam keadaan stabil.
   
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.40 petang semalam dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian bagi menggerakkan operasi mencari dan menyelamat yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela.
   
Sementara itu, tindakan pantas pekerja kelong, Khairul Afzan, 29, berjaya menyelamatkan dua lelaki yang hampir lemas.
   
"Sebelum itu, saya telah menasihatkan mereka agar berhati-hati…tidak sangka ia berakhir dengan tragedi.
   
"Saya nampak ketiga-tiga mangsa sedang terkapai-kapai. Dengan pantas, menggunakan bot yang ada saya cuba menghampiri mereka. Apabila saya angkat mereka, seorang mangsa sudahpun meninggal dunia manakala dua lagi sudah tercungap-cungap," katanya.-Sinar harian
0 Komentar untuk "Tiga saudara lemas di Bagan Lalang"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info