Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Apabila Lisa gugup...

Mereka kini pasangan selebriti bahagia. Namun, filem Ular yang menjalani penggambaran sekitar Januari tahun lalu adalah filem pertama menggabungkan pengarah dan pelakon, Yusry Abdul Halim dan pelakon jelita, Lisa Surihani Mohamed.
Lebih menarik, peng­gambaran berlangsung kira-kira sebulan sebelum mereka diijabkabulkan pada 23 Februari tahun lalu.
Bersua dengan pasangan bahagia ini pada sesi fotografi istimewa di Hotel The Everly, Putrajaya, kelmarin sempena promosi awal filem Ular arahan Jason Chong, mereka kelihatan cukup teruja untuk berkongsi pengalaman berlakon bersama.

Paling menarik lagi, apabila Lisa membong­karkan ‘rahsianya’ yang tiba-tiba saja jadi gementar dan sangat malu hingga menggigil hanya disebabkan tidak boleh bertentang mata dengan bakal suaminya ketika itu.
Tanpa berselindung, Lisa berkata, sukar untuk dia memberikan gambaran keadaannya ketika itu yang terus jadi gementar kerana malu sangat berlakon di samping Yusry.
Foto
Ujarnya, perasaan sangat lain apabila berlakon di sisi lelaki yang amat disayangi.

“Yusry memang seorang yang tenang dan dia juga mampu mengawal keadaan. Namun, lain pula situasinya pada diri saya paling tak sang­ka boleh sampai jadi menggigil dibuatnya.

“Barangkali, kalau difikir-fikirkan semula ia berkemungkinan aura ‘darah manis’ agaknya kerana ketika menjalani penggambaran filem Ular ini, kami juga menghitung hari untuk disatukan sebagai suami isteri,” katanya.

Ramah berbicara, Lisa berkata, bagi memastikan proses penggambaran berjalan lancar, dia dan Yusry mengambil inisiatif selalu mengadakan perbincangan bersama mengenai tuntutan karakter yang dilakonkan mereka.

Antara perkara tak dapat dilupakannya ketika berlakon filem berkenaan itu ialah apabila disengat tebuan.

“Memang tak sangka pun boleh kena sengat tebuan. Apa lagi, bahagian mata saya yang kena sengat itu jadi sa­ngat bengkak dan saya bimbang dibuatnya. Maklumlah, ketika itu hanya tinggal dua minggu saja lagi majlis pernikahan kami.

“Ia juga menyebabkan saya terpaksa berkaca mata hitam ketika menghadiri sesi ‘food testing’ untuk hidangan majlis persandingan kami,” katanya.

Selain itu, Lisa juga memang alah pada gigitan serangga. Justeru, jelasnya dia seorang yang amat takutkan serangga hingga menganggap haiwan kecil itu umpama seekor raksasa.

Seronok dengan ular

Bagi Yusry pula, dia seronok membintangi filem Ular kerana ia filem aksi ‘creature feature’ pertama dihasilkan industri perfileman tempatan.

Katanya, filem itu sa­ngat unik kerana cuba menggambarkan sifat semula jadi manusia apabila berdepan situasi hidup atau mati yang nyata cukup mencabar.

Berbicara mengenai spesies ular digunakan, Yusry berkata, keba­nyakannya adalah jenis ular sawa yang tidak berbisa. Bahkan, saiz ular itu juga tidaklah terlalu besar.

“Ia ular biasa yang wujud habitatnya di negara ini. Cuma, ketika berlakon filem ini, kami terpaksa membiasakan diri berhadapan dengan jumlah ular yang banyak.

“Sedikit menggelikan, tetapi kami tidaklah berasa sangat takut beraksi dengan ular-ular itu kerana ia sentiasa dipantau pelatihnya. Jadi, soal keselamatan memang terjamin,” katanya.

Menurut Yusry, gandi­ngannya bersama Lisa juga sebenarnya membantu lebih mengeratkan hubungan percintaan mereka yang terjalin biar pun dalam tempoh menghitung hari untuk bersatu.

Diterbitkan bersama Showbiz Productions dan Marna Films, penggambaran filem Ular itu berlangsung selama 30 hari membabitkan lokasi seperti Kuala Lumpur, Morib dan Klang.

Menyentuh mengenai pemilihan cerita ular untuk diketengahkan di dalam filem ini, Yusry berkata pada awalnya haiwan yang dirancang adalah buaya.

Pun begitu, katanya kisah buaya lebih terkenal di Sabah dan Sarawak. Maka, untuk lebih dekat kepada semua penduduk Malaysia, ular adalah pilihan tepat kerana haiwan berbisa ini juga ada kalanya masuk hingga ke dalam rumah. 

Filem Ular mengisahkan Myra, seorang wartawan kontroversi yang diturunkan pangkat dan diberi tugasan untuk membuat liputan pelancaran pusat percutian impian di sebuah resort yang baru dibuka.

Myra yang­ ditemani jurugambar, Remy bagaimanapun tersedar ada sesuatu ‘tidak kena’ pada resort itu yang disembunyikan oleh pemiliknya apabila seorang demi seorang pengunjung yang memenangi hadiah percutian ke pulau itu hilang.

Apakah yang berlaku sebenarnya dan dari manakah datangnya ular ganas yang memakan mangsa itu? Justeru, mampukah Myra dan Remy me­nyelamatkan diri mereka daripada dimakan oleh ular-ular yang bertindak ganas?

Filem Ular yang turut dibintangi oleh Izzue Islam adalah buah tangan keempat terbitan Showbiz selepas Hantu Kapcai, Kahwin 5 dan Hantu Tok Mudim yang dijangka menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sekitar Disember nanti.-Hmetro
0 Komentar untuk "Apabila Lisa gugup..."

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info