Sejak setahun setengah memperlahankan kerjaya seni atau dalam erti kata lain meninggalkan dunia lakonan demi memberi tumpuan kepada fasa mengandung dan seterusnya melahirkan bayi sulung pada 29 Mac lalu, Ayu Raudhah mengakui kini perasaannya cukup berbelah-bahagi.
BILA ADA ANAK DEPAN MATA,NAK TINGGALKAN DIA PUN RASA SUKAR. ITU JUGA ANTARA SEBAB SAYA RASA BERBELAH-BAHAGI NAK KEMBALI BERLAKON”
Namun, adik kepada aktres Rozita Che Wan ini bertuah kerana suaminya cukup menyokong dan sporting, sekali gus tidak menghalang niatnya untuk kembali berlakon. Kali terakhir Ayu berlakon ialah untuk telefilem bertemakan Aidilfitri, Tiba Masanya siaran TV AlHijrah.
“Selalunya, kalau sudah bergelar ibu terutama yang memilih kerjaya sebagai pelakon kebiasaannya memang lebih selesa menunggu anak membesar di depan mata dulu sebelum bekerja semula.
Kehadiran Aisy
“Ikutkan tawaran berlakon sudah saya terima sejak dari berbadan dua, berpantang dan sehinggalah saat ini. Tapi saya memilih untuk melepaskan semuanya itu dulu demi rumah tangga dan semestinya untuk Aisy.
Mungkin dua atau tiga bulan lagi saya boleh bekerja semula,” katanya yang ditemui baru-baru ini ketika berlangsungnya Rumah Terbuka anjuran syarikat Laugh Out Loud milik Dafi dan Afeeq ini di Binjai 8, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Malah dalam tempoh berehat itu, Ayu turut berpeluang sekali sekala menemani suaminya yang sedang berehat dek kecederaan yang dialami ketika bermain bola sepak menjalani terapi. “Kalau tak silap saya, suami saya akan kembali beraksi di padang hujung tahun ini. Selalunya dia akan ke Bukit Jalil untuk menjalani rawatan dari pagi hingga ke petang. Tetapi kadang-kadang saya usik dia dengan perkataan rindu, dia cuba pulang lebih awal.
“Alhamdulillah, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, saya tidak mengharapkan apa lagi selain mendoakan kebahagiaan yang dikecapi ini berterusan dan dirahmati. Kehadiran Aisy terus menambah seri.
“Dia (suami) cukup sempurna di mata saya. Gambaran itu paling sesuai saya katakan buatnya. Tiada apa yang saya minta lagi daripadanya sebagai suami. Saya bahagia... sangat-sangat bahagia,” katanya.
Suri rumah sepenuh masa
Menceritakan rutin hariannya menjaga Aisy, Ayu menjelaskan dia memberi tumpuan 100 peratus kepada anaknya itu sekali pun menggunakan khidmat pembantu rumah. Pendek kata, Ayu umpama suri rumah sepenuh masa sekali pun ada pembantu rumah di sisi.
“Pembantu rumah hanya sekadar membantu tugasan seperti mengemas rumah dan menolong saya di rumah. Memasak pun saya lakukan sendiri dan kalau tak sempat, pembantu rumah ada membantu.
“Teruja sebenarnya menjadi ibu. Sebab itu saya tak serahkan tanggungjawab itu kepada pembantu rumah.
Cuma setiap masa, pembantu rumah akan memerhatikan apa yang saya lakukan terhadap Aisy. Jadi dia boleh lakukannya juga nanti bila saya sudah kembali bekerja,” katanya yang kini menetap di Seremban dan sekali sekala berulang alik ke rumah keluarga di Subang.
Hingga saat ini, Ayu berkata, dia sering belajar benda baru apabila sentiasa melihat proses tumbesaran anak di depan mata. Sekarang, Aisy sudah pandai meniarap dan Ayu akan terus menyusukan badan selagi dilihat perlu.
“Faedah susu ibu itu sangat bagus. Malah kerana sebab menyusu badan juga berat badan akan menurun. Tapi selain itu sejak berpantang lagi selama 44 hari saya jaga makan. Tapi sekarang kalau teringin itu dan ini, makanlah juga.
Sukar berpisah dengan anak
“Bila ada anak depan mata, nak tinggalkan dia pun rasa sukar. Itu juga antara sebab saya rasa berbelah-bahagi nak kembali berlakon. Bayangkan masa berlakon telefilem Tiba Masanya itu pun seminggu tinggalkan dia, saya sudah tak keruan jadinya.
“Suami pun tak berkira dalam soal menjaga anak. Dia bukan jenis bapa yang pos cantik. Ibaratnya dia tahu apa yang patut buat tanpa perlu diberitahu,” kata Ayu yang sedar status sebagai isteri dan ibu memerlukan dirinya menjaga batas termasuk dalam mempertimbangkan tawaran berlakon babak mesra dengan pelakon lelaki.-Bharian
0 Komentar untuk "Tiga bulan lagi"