Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Seronok nikmati hasil rompak

KOTA BHARU - Seronok menikmati hasil rompakan menyebabkan seorang bekas sub kontraktor bermaharajalela terbabit dengan jenayah rompakan berkumpulan dan bersenjata di Kuantan, Pahang selama empat tahun.

Hasil jenayah yang dilakukan umpama punca pendapatan utama kepada Z yang berasal dari Machang.

Dia aktif melakukan berpuluh siri rompakan bersenjata pisau dan parang bersama dua lagi rakan yang juga bekas pekerja bidang pembinaan.



Menurutnya, dia terjebak dengan jenayah itu selepas perniagaan yang diwarisi daripada bapanya dilanda masalah.

“Masa itu, saya buntu dan tidak mampu untuk berfikir panjang. Mulanya, saya hanya melakukan pemerasan (peras ugut) dan apabila berasa seronok mendapat hasil dengan cara yang mudah, saya ajak pula dua pekerja saya itu untuk merompak.

“Lama-kelamaan kami menjadi terbiasa dan gembira mendapat duit tanpa bersusah payah. Tambah pula, polis tidak berjaya mengesan kami. Kami ada banyak masa untuk melakukan jenayah. Sejak hari itu, kami sentiasa bersama-sama merancang untuk melakukan rompakan,” katanya.

Z yang memiliki Diploma Kejuruteraan Perubatan dari sebuah kolej di Gombak, Selangor itu berkata, kelicikan mereka walau bagaimanapun berakhir jua apabila mereka tumpas di tangan polis selepas merompak RM7,500 wang tunai milik seorang peniaga di kedai barang elektronik di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan, Pahang, pada 2010.

“Saya dihukum empat tahun penjara dan bakal bebas pada bulan Januari ini. Saya belum ada perancangan, namun berharap mampu membina kehidupan baru selepas berada di dunia luar nanti,” katanya yang pernah mendirikan rumah tangga tetapi bercerai dengan isterinya selepas dikenakan hukuman.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata yang kini mencecah usia sembilan tahun dan anak mereka itu kini dijaga isterinya. Z mengaku masih sayang akan wanita itu.

“Bohong kalau saya katakan saya tidak menyayanginya kerana dia pernah menjadi teman hidup yang berkongsi suka duka bersama saya dulu. Keinginan untuk rujuk kembali itu ada, lebih-lebih lagi hubungan kami masih baik.

“Namun, hati saya lebih kepada sesuatu yang baru. Yang lalu biarkan berlalu. Saya ingin bina hidup baru apabila dibebaskan kelak,” kata anak sulung dari tiga beradik itu.-Sinar harian
0 Komentar untuk "Seronok nikmati hasil rompak"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info