Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Ziarah raya Shah Iskandar, Elfaeza

MUDAH benar perjalanan sesi fotografi bersama dua anak seni yang namanya mula meniti di bibir peminat ini.
Biarpun dihala bidikan lensa kamera di bawah terik matahari Ramadan beberapa hari sebelum tanggal 1 Syawal lalu, pelakon Shah Iskandar dan Elfaeza Ul Haq, kekal mengukir senyuman.
Suasana tengah hari di laman ala kampung Melayu sekitar Kompleks Kraf, Jalan Conlay, di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu tidak terasa dek hiburan sampingan daripada canda gurau dua sahabat 'sekampung' itu.
Sengaja diaturkan sesi fotografi tersebut di lokasi berlandskap tradisional itu agar kedua-dua mereka berpeluang merasai pengalaman beraya dalam suasana perkampungan Melayu.
"Kalau di Malaysia suasana kampung seperti ini masih dapat dirasai apabila mereka pulang beraya. Tetapi di Singapura yang ada hanyalah taman warisan yang rupanya hampir begini.
"Namun, sudah menjadi kebiasaan kami beraya dalam bandar," ujar Shah Iskandar mengungkap rasa hati.
Shah Iskandar dan Elfaeza merupakan anak seni kelahiran Singapura yang merantau jauh meninggalkan kampung halaman demi meneruskan cita-cita di Kuala Lumpur.
Biarpun ini merupakan kali keempat menyambut Ramadan dan Syawal sebagai pelakon di Malaysia buat jejaka yang mesra disapa Shah dan tahun kedua buat Elfaeza, rasa rindu pada tanah kelahiran mereka kekal menebal.
Bahkan, ketiadaan ruang untuk bersama-sama rakan perantau yang lain menambah lagi hiba Ramadan mereka di Kuala Lumpur.
"Jika tahun lalu kami sempat bersahur atau berbuka bersama, namun pada tahun ini kami tiada masa langsung untuk berjumpa.
"Bahkan sesi fotografi hari ini adalah kali pertama kami bertemu pada Ramadan ini," ujar Elfaeza.
Walaupun sayu dan kesunyian menjadi peneman sepanjang berpuasa di perantauan, saat membuka cerita soal hari raya, rasa teruja mula menghambat dua jiwa itu.
SAMBUTAN hari raya keluarga Shah akan meriah pada minggu kedua dan ketiga Syawal.

Sementelah, masing-masing ada cerita manis yang mahu dikongsikan.

Shah beraya di Johor
Sebagai seorang lelaki bujang, Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz tidak cerewet dalam soal persiapan hari raya. Tidak banyak yang dilakukan, sebaliknya Shah menumpukan perhatian kepada kerjanya sepanjang Ramadan.
"Untuk bulan puasa sahaja, saya terlibat dengan lima buah telemovie. Persiapan hari raya hanya dilakukan selepas balik ke Singapura kira-kira lima hari sebelum hari raya.
"Selalunya kami sekeluarga akan membeli-belah persiapan hari raya di Plaza Angsana, Johor Bahru kerana di situ pelbagai kelengkapan hari raya ada dijual," katanya yang bercuti hingga hari raya kelima.
Tambah Shah, dia akan mengunjungi sanak saudara pada hari pertama lebaran.
Tiada sebarang persiapan besar yang dilakukan di rumahnya kerana mereka sekeluarga akan menjamah hidangan di rumah yang dikunjungi.
"Selepas sembahyang raya kami akan mengunjungi kaum keluarga di Malaysia dahulu seperti melawat datuk dan nenek serta saudara-mara di Pontian dan Kampung Melayu, Johor Bahru," katanya.
Bagaimanapun, persiapan di rumah keluarganya akan lebih meriah pada minggu kedua atau ketiga raya apabila giliran saudara-mara berkunjung ke rumahnya di Woodlands.






























SETIAP kali tiba Aidilfitri, Elfa akan menyenaraikan rumah dan lokasi yang ingin dikunjungi.
"Pada minggu-minggu berikutnya barulah mereka bertandang ke rumah kami pula kerana kebanyakan mereka adalah saudara-mara yang lebih tua dan lebih dihormati," ujar jejaka berusia 31 tahun itu.
Elfa beraya naik trak pikap
Berjauhan dengan keluarga tercinta pada bulan Ramdan sedikit sebanyak mengganggu emosi si gadis pemilik nama penuh Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq itu.
"Walaupun ini kali kedua saya berpuasa di sini, saya tetap sedih kerana bersendirian.
"Tetapi jika tiada penggambaran saya akan balik ke Singapura untuk berpuasa bersama mereka.
"Untuk tahun ini, separuh daripada tempoh bulan puasa saya habiskan bersama keluarga dengan cara berulang alik ke sana," kata Elfaeza, 28.
Saat diajak berbual tentang hari raya pula, pelbagai kisah gembira hari raya mahu diceritakan oleh gadis berdarah campuran Melayu-Pakistan itu.
Suasana meriah pada malam raya antara saat yang ditunggu Elfaeza apabila seluruh keluarganya akan sama-sama membuat persiapan saat akhir.
"Macam menjadi kebiasaan kami apabila persiapan hari raya dilakukan pada malam raya. Pelbagai perkara mahu disiapkan termasuklah memasak, mengemas rumah dan menukar langsir.
"Selalunya kami akan tidur selepas waktu subuh dan bangkit semula pada pukul 9 pagi.
"Walaupun mata bengkak kerana tidak cukup tidur, kami akan keluar beraya juga selepas itu," katanya teruja.
Jelas Elfaeza, dia akan menyenaraikan lokasi yang harus dikunjungi sepanjang hari raya. Dari rumahnya yang terletak di Jurong, Elfaeza sekeluarga akan berkunjung ke lokasi mengikut turutan bagi menjimatkan masa.
"Sekurang-kurangnya sepuluh buah rumah saudara-mara akan dikunjungi dalam masa sehari yang akan dimulakan dengan rumah nenek di Chua Chu Kang.
"Selepas habis sesi kunjung-mengunjung, saudara-mara akan berkonvoi ke tempat rekreasi atau tepi pantai untuk berkumpul," katanya yang menyediakan sepasang baju raya pada tahun ini.
Saat mengenang zaman lalu, Elfaeza mendedahkan pelbagai kisah manis pada zaman kanak-kanak dan remajanya.
"Suatu ketika dahulu hari raya meriah kerana kami akan berkunjungan dengan menaiki trak pikap. Selalunya kanak-kanak akan duduk di belakang.
"Selain itu, semasa bersekolah kami suka ziarah-menziarah secara berkumpulan dengan menaiki MRT (transit aliran massa).
"Apabila bertembung dengan kumpulan lain kami akan saling bertegur sapa dan melambai-lambai walaupun tidak mengenali antara satu sama lain," ujar Elfaeza yang menggemari juadah sambal udang pada hari raya.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Ziarah raya Shah Iskandar, Elfaeza"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info