Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Suami makin sayang

SEJAK melahirkan putera sulungnya, memang agak jarang kita mendengar kisah pelakon jelita, Ayu Raudhah tambahan pula karier lakonannya juga agak sepi.

Biarpun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen tempatan, sebenarnya Ayu kini sedang meniti kebahagiaan bersama putera kesayangan, Muhammad Aisy Qaiser dan suami tercintanya, Zaquan Adha.

Menurut Ayu, dia mengambil keputusan untuk berehat dari bidang lakonan sementara usia anaknya yang masih kecil.




"Memang sepanjang bulan puasa ini Ayu rehat di rumah jaga Aisy. Sebelum ini Ayu ada ambil satu tawaran tapi sepanjang sesi penggambaran kepala asyik teringatkan dia.

"Kesian sebab masih kecil sudah ditinggalkan. Tunggulah dia besar sedikit sampai lima atau enam bulan baru saya akan kembali aktif berlakon," ujarnya.

Tambah Ayu bukan sahaja dirinya merasai perkara itu, malah suaminya juga turut menunjukkan perubahan sepertinya.

"Sekarang ini apa sahaja saya dan suami lakukan mesti ada berbezaan sejak ada Aisy dalam hidup kami. Suami pun kalau keluar akan selalu telefon dan buat panggilan video bertanyakan tentang anak kami. Padahal setiap hari sudah jumpa.

"Saya boleh lihat perubahan itu, suami semakin menyayangi dan lebih mengambil berat," katanya.

Raya lebih meriah

Menyentuh mengenai persiapan raya yang tinggal kurang seminggu saja lagi, Ayu akui semuanya telah disediakan awal-awal lagi.

Menurutnya, walaupun segala persiapan sambutan Aidilfitri kali ini dilakukan secara sederhana, namun kemeriahannya masih terasa.

"Semuanya saya sudah sediakan awal-awal sebab takut kelam kabut. Maklumlah sekarang kami sudah bertiga.

"Untuk saya dan suami memang biasa-biasa sahaja tapi untuk Aisy memang kami utamakan. Setiap kali keluar beli barang-barang mesti akan beli baju dia. Memang kami tidak sabar sambut raya dengannya," kata Ayu teruja.

Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan hari raya, Ayu memberitahu tahun ini dia akan beraya di kampung halamannya di Kedah.

"Hari raya pertama saya akan berada di Kedah sampai hari raya ketiga dan selepas itu baru balik ke Seremban.

"Tahun ini juga kami ada merancang untuk buat rumah terbuka. Tapi mungkin selepas dua minggu beraya," tambahnya.




Kongsi kenangan lucu

Pelakon jelita ini turut tidak ketinggalan berkongsi memori lucu ketika pertama kali menyambut hari raya bersama suami yang sehingga kini masih lagi segar dalam ingatannya.

"Bila cerita pasal raya, Ayu memang tidak boleh lupa kisah lucu kami berdua semasa sambut hari raya dua tahun lalu.
 
"Masa itu saya memang sudah siapkan persiapan baju raya kami awal-awal. Lepas tempahan siap kami terus hantar baju-baju itu untuk dicuci di dobi.

"Bila pagi raya, baju suami saya nampak senteng dan kecil berbanding sebelumnya. Masa kami cuba pakai semasa tempahan siap memang kami tidak ada masalah dengan ukurannya.

"Mujurlah ketika itu kami ada baju lain. Memang itulah memori kelakar saya bersama suami ketika pertama kali sambut raya," katanya sambil tertawa.  

Dalam perkembangan lain, Ayu bakal tampil dengan telemovie raya 'Tiba Masanya' untuk siaran TV Alhijrah pada hari raya kedua nanti. -Sinar harian
0 Komentar untuk "Suami makin sayang"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info