Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Isteri kejutkan mayat suami

GEORGETOWN - ”Bangunlah sayang, kenapa kau pergi tinggalkan aku, kau kata kau mencintaiku.” Itu rintihan seorang isteri terhadap suaminya yang dibalut plastik hitam untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang setelah ditemui mati dalam sebuah kereta di sebuah bengkel dekat Relau di sini, malam kelmarin.

Tanpa menghiraukan orang ramai yang berkumpul melihat kejadian itu, isteri mangsa, Ho Lai Har, 42, seolah-olah cuba untuk mengejutkan suaminya dengan harapan suaminya kembali bangun dan meneruskan kehidupan seperti biasa.



Raungannya semakin kuat apabila kenderaan polis yang membawa mayat suaminya itu meninggalkan tempat kejadian sehingga memaksa ahli keluarga mangsa yang lain menenangkannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, mangsa, Yong Mia Sun, 40, ditemui mati setelah dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu. Mangsa juga dikatakan sempat menghubungi pekerjanya memaklumkan untuk menutup bengkelnya sebelum mangsa terus gagal dihubungi.

Risau akan kehilangan mangsa, keluarganya membuat satu laporan polis berhubung kehilangannya. Menurut sumber, sebelum dilaporkan hilang, mangsa ada memaklumkan berkenaan penutupan kedainya kepada seorang pekerja stesen minyak berhampiran bengkelnya dan sejak hari itu, dia sudah tidak kelihatan dan tidak membuka bengkelnya seperti biasa.

“Kebiasaan sekiranya kedai itu ditutup untuk bercuti, dia akan meletakkan notis di bahagian luar pintu namun kali ini tiada notis pemberitahuan diletakkan. Sebelum ini, ada ramai pelanggannya yang datang untuk membaiki kereta namun kecewa apabila mendapati kedainya ditutup,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa hanya ditemui pekerjanya di dalam kedai berkenaan apabila usaha mencari dan menghubungi majikannya gagal.

“Mayatnya ditemui terbaring di bahagian pemandu. Kelihatan juga ada saluran paip yang dihubungkan dari ekzos ke dalam kereta dan kesemua tingkap ditutup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
0 Komentar untuk "Isteri kejutkan mayat suami"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info