AMPANG: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak melihat kemuncalannya dalam banyak program sempena Syawal pada tahun ini sebagai keterlaluan sebaliknya bagi memenuhi permintaan produksi dan peminat.
Siti, 34, berkata, dia hanya menyertai sebuah program sahaja untuk setiap stesen televisyen selain terpaksa menolak banyak tawaran lain kerana sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya.
"Wajah saya nampak banyak muncul pada Hari Raya tahun ini mungkin kerana ada stesen TV yang mengulang tayang program yang pernah saya buat sebelum ini.
"Saya juga banyak memenuhi undangan pihak produksi pada tahun ini kerana pada tahun lalu saya tidak muncul dalam sebarang program raya," jelasnya kepada mStar Online.
Siti ditemui pada majlis rumah terbukanya di Bukit Antarabangsa di sini, Ahad.
Dalam pada itu, Siti berkata, selain sibuk merakamkan album terbaharunya, dia juga sedang rancak mengadakan persiapan untuk konsert tradisional sulungnya di Panggung Sari, Istana Budaya yang akan diadakan pada 20 hingga 22 September depan.
Jelas Siti, dia sangat teruja dengan konsert berkenaan kerana telah lama mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert tradisional disamping Orkestra Tradisional Kebangsaan (OTK).
"Ramai peminat yang bertanya tentang konsert tradisional dan akhirnya ia bakal terlaksana dan persiapan sedang dilakukan," jelasnya.
Sementara itu, Siti berkata, rumah terbuka yang diadakannya adalah untuk meraikan para pekerjanya di SimplySiti selain turut menjemput rakan niaga, sahabat dan keluarga terdekat.-mStar
0 Komentar untuk "Kemunculan Siti Nurhaliza Dalam Program Syawal Bukan Keterlaluan"