PETALING JAYA: Pelakon Diana Amir mengakui selesa jarang bertemu dengan tunangnya iaitu seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah iaitu Mohd Habibbullah A Rahman agar tidak berlaku fitnah.
Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 27, berkata, status mereka sebagai tunangan orang bukanlah alasan untuk mereka sentiasa menghabiskan masa bersama sebaliknya harus menjaga batasan sehinggalah mempunyai ikatan yang sah.
"Memang kami jarang berjumpa dan rasanya lebih baik begitu bagi mengelakkan sebarang fitnah dan pada tahap ini batas-batas pergaulan perlu dijaga.
"Kami tiada masalah tentang perkara itu malah lebih selesa tidak terlalu kerap berjumpa dan hanya akan bertemu sekiranya mempunyai urusan," katanya kepada mStar Online.
Diana dan Mohd Habibbullah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkahwinan, Diana berkata, mereka masih belum menetapkan sebarang tarikh kerana sibuk dengan urusan kerja masing-masing.
Bagaimanapun kata Diana, mereka akan tetap berkahwin pada tahun ini dan akan berbincang mengenai soal itu dalam masa terdekat.
"Sepatutnya kami berkahwin setahun selepas bertunang namun kesibukan dengan kerjaya masing-masing telah menyebabkan ia tertangguh. Pun begitu, kami tetap akan berkahwin dalam tahun ini dan Insya-Allah kami akan beritahu perkara baik itu kepada semua nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Diana berkata, selain sibuk menguruskan perniagaan pakaian Muslimah miliknya iaitu ‘Diana Amir Exclusive’ dia juga masih menerima tawaran berlakon sekiranya watak bersesuaian dengan imejnya.-mStar
0 Komentar untuk "Diana Amir Jarang Jumpa Tunang Untuk Elak Fitnah"