Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan kacukan England dan Lubnan, Bruce Dargus pada 8 Disember tahun lalu, pasangan ini dijangka menimang cahaya mata sulung pada bulan yang sama dengan ulang tahun perkahwinan mereka. Akui ia
merupakan momen yang sangat dinantikan, bagi Betty tiada apa yang lebih membahagiakan dari bergelar isteri dan juga ibu.
“Sejujurnya kehidupan saya sekarang bertambah bahagia apatah lagi kini sedang menunggu kelahiran bayi pertama kami.
“Kami tidak kisah jantina bayi, paling penting anak kami sihat dan cukup sifatnya,” katanya yang tak sabar menimang cahaya mata.
Bersyukur dikurniakan suami seperti Dargus, Betty berkata, meskipun berbeza bangsa dan adat ia tidak pernah menjadi kesukaran buat mereka menjalani kehidupan berumah tangga.
"Dia (Dargus) mudah menyesuaikan diri dan sangat memahami saya. Malah dia terlalu bersikap 'protektif' sejak mengetahui saya hamil," kata Betty.
Berkongsi perkembangan seninya, Betty berkata dia masih menerima tawaran lakonan. Namun sejak berkahwin dia semakin selektif memilih tawaran.
“Suami tidak menghalang kerjaya seni saya, tetapi bila saya dah hamil dia mula risau dan sentiasa menasihatkan saya agar berhati-hati setiap masa," ujar Betty yang kini sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang akan ditayangkan di TV9.
Amal yoga demi kandungan
Walaupun sudah berbadan dua, namun ia tidak menjadi penghalang bagi Betty untuk meneruskan aktiviti hariannya.
Malah wanita kelahiran Johor Bahru ini juga agak bertuah kerana tidak mengalami sebarang alahan atau 'morning sickness' seperti wanita hamil lain.
“Walaupun di awal kehamilan saya mengalami rasa dahaga yang agak teruk sehingga terpaksa membawa botol air ke mana jua saya pergi.
“Namun keadaan semakin baik setelah mengetahui saya telah mengandung,” katanya.
Menurut Betty, dia kini mengamalkan senaman yoga bagi memastikan kandungannya dalam keadaan baik dan sihat.
Katanya, semakin ramai wanita hamil memilih senaman itu kerana tidak terlalu berat bagi mereka dan bersifat lebih santai.
“Senaman ini memastikan saya kekal cergas dan ia tidak memudaratkan kandungan saya.
“Kita tidak perlu melakukan senaman berat untuk mengekal kesihatan tetapi perlu bijak memilih sesuatu yang sesuai dengan situasi,” katanya.
Jika wanita lain mengalami pertambahan berat badan, namun berbeza dengan Betty kerana sepanjang kehamilannya itu dia telah kehilangan berat badan sebanyak 4 kilogram.
“Mungkin orang lain mengidam pelbagai makanan ketika hamil, namun berbeza dengan saya.
“Sebab itu berat badan saya menyusut kerana makan seperti biasa dan tidak terlalu mengikut nafsu,” katanya yang teringin menikmati masakan ibunya terutama laksa Johor.
Beraya di Johor
Tahun ini merupakan Aidilfitri yang sangat istimewa buat Betty kerana julung kalinya beraya bersama suami tercinta.
Malah mereka juga berpeluang meraikan lebaran penuh makna itu di kampung halaman Betty sendiri.
“Saya sangat beruntung kerana suami tak cerewet dalam pemakanan. Dia makan apa saja yang ada asalkan tak pedas.
"Dia sangat menggemari biskut makmur walaupun tak tahu nama biskut itu.
"Kalau nasi, dia lebih gemar nasi ayam sebab tak pedas," kata Betty.
Berbeza dengan suaminya, Betty memberitahu, dia sangat gemarkan makanan yang pedas.
"Saya paling suka nasi ayam penyet kerana kepedasannya membuatkan saya sangat berselera. Malah ia juga merupakan hidangan yang popular di Johor.
“Kalau biskut raya, saya gemarkan tart nenas dan sejak dari kecil lagi saya sangat menggemari kuih ini,” ujarnya.-Sinar harian
0 Komentar untuk "Betty tak sabar timang cahaya mata"