TEMERLOH - Selepas tiga hari memohon maaf kepada semua kenalannya di laman sosial Facebook, seorang pemuda, Muhammad Luqman Mohd. Khaidir, 26, maut dalam satu kemalangan di Kilometer 143, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab di sini malam kelmarin.
Mangsa yang juga anak kepada Ketua Pengarang Berita TV3, Mohd. Khaidir Ahmad meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Proton Wira yang dinaiki bersama dua rakannya bertembung dengan kenderaan lain.
Adik mangsa, Mohd. Solehan, 25, ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di sini berkata, tiga hari lalu arwah ada menulis di laman Facebook miliknya dengan memohon maaf kepada semua kenalannya.
"Dia (Muhammad Luqman) ada ramai kenalan dan bila kami tahu mengenai arwah abang ada tulis minta maaf di Facebook, kami tidak sangka itu petanda dia akan meninggalkan kami.
"Kehilangan arwah memang amat dirasai kami sekeluarga kerana arwah seorang periang dan peramah," katanya.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kereta Proton Wira dinaiki Muhammad Luqman bersama dua rakannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dipercayai gagal dikawal ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain.
"Ketika kejadian, kereta Proton Wira itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Toyota Corolla mengakibatkan kenderaan itu berpusing di tengah jalan.
"Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Kancil dari arah Kuantan tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Proton Wira tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Minta maaf di Facebook sebelum maut nahas"