Semuanya gara-gara pengarah P. Ramesh membocorkan tentang adegan panas yang terdapat dalam filem tersebut pada sesi sidang akhbar selepas tayangan trailer filem terbitan Nusantara Seni Karya itu.
Terserlah kebimbangan pada mata Johan kerana dia tidak mahu penonton salah sangka sebelum menonton keseluruhan filem seram pertama lakonannya.
“Memang saya bimbang apabila pengarah menyentuh tentang adegan panas kerana takut penonton salah anggap.
“Sebenarnya selepas dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Negara, hanya terdapat satu adegan panas sahaja. Adegan itu dilakonkan ketika wajah Aishah bertukar menjadi hantu, jadi tidak ada elemen ghairah melampau seperti yang difikirkan,” kata Johan.
Bagaimanapun, selepas diyakinkan oleh pengarah tentang keperluan babak tersebut dan teknik pembuatannya, akhirnya Johan, 26, memberi persetujuan.
“Ikutkan skrip asal filem ini dari Indonesia terlalu banyak adegan yang melampau tetapi selepas skrip diolah dan disesuaikan dengan sentimen masyarakat tempatan, adegan itu dikurangkan.
“Saya setuju melakonkan adegan panas itu kerana keperluan jalan cerita dan saya serta Aishah berada dalam keadaan berpakaian,” jelasnya panjang lebar.
Syarat ketat Aishah
Berbicara lanjut tentang adegan tersebut, Aishah, 26, mengakui yang dia rasa malu, bahkan ketika adegan panas itu dirakamkan, Aishah telah meletakkan syarat pada pihak produksi.
Syaratnya, ketika adegan panas itu menjalani proses penggambaran, dia enggan terlalu banyak mata yang memandangnya.
Justeru, hanya terdapat sekitar tujuh orang penting yang menyaksikannya secara langsung.
“Ini kali pertama saya membawakan adegan seperti ini. Bagi saya, adegan itu sangat susah kerana saya belum berkahwin dan tidak tahu bagaimana untuk melontarkan perasaan yang dikehendaki pengarah.
“Selepas berbincang, hanya ada tujuh orang kru penting sahaja sewaktu penggambaran dan mereka semua tidak dibenarkan langsung membawa sebarang kamera atau telefon.
“Saya bukannya berbogel kerana masih mengenakan tube tetapi saya akui waktu itu memang saya malu,” balasnya yang juga bakal muncul dengan filem Pilot Cafe dan Usin UFO.
Johan, syarat ketat itu dikenakan kepada produksi kerana bimbang fitnah dan impak negatif pada kemudian hari.
“Dalam adegan itu kami berpelukan, jika ada yang mengambil gambar dan tidak tahu hujung pangkalnya, pasti akan timbul fitnah.
“Sebab itu hanya orang penting sahaja dibenarkan berada di lokasi ketika penggambaran dilakukan,” jelasnya.
Kisah benar
Ketepikan sebentar kisah adegan panas, hanya menerusi trailer yang ditayangkan kepada pihak media, filem ini kelihatan agak seram dan sarat dengan teknik janaan komputer (CGI) sebanyak 30 peratus.
Walaupun filem seram ini tentang hantu pontianak tetapi pengarahnya menyelitkan kisah benar iaitu tragedi Highland Towers sebagai latar filem yang mengejutkan rakyat Malaysia pada 11 Disember 1993.
“Memang sukar tetapi bagi saya, terlibat dalam filem Paku satu pengalaman yang cukup berbaloi. Semua orang memberi komitmen yang tinggi dan pengarahnya tahu apa yang diinginkan,” kata Johan.“Saya setuju berlakon dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan kreatif. Bayangkan, kami melakukan penggambaran di tempat ‘keras’ seperti di runtuhan bangunan Highland Towers dan saya juga terpaksa membayangkan bangunan itu runtuh di depan mata.
Menariknya, sepanjang penggambaran berlangsung, semua aksi babak ngeri dilakonkan sendiri oleh pelakonnya terutama Aishah yang memegang watak Riana dan pada masa yang sama sebagai puntianak.
Aishah yang melakukan aksi lagak ngeri sebanyak 50 peratus dalam filem ini terpaksa disolek sehingga enam jam untuk mendapatkan wajah hantu yang sebenar.
“Setiap kali jadi hantu, saya akan melakukan aksi lagak ngeri sendiri seperti terbang dari atas bumbung dan bangunan.
“Pada mulanya takut juga sebab saya gayat tetapi lama-lama jadi seronok kerana saya seorang yang lasak dan sukakan cabaran.
“Paku merupakan filem pertama saya dan semuanya saya dapat lakukan dalam satu filem,” katanya yang mula berlakon pada tahun 2011.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Johan, Aishah tidak tayang tubuh"