BILA sebut nama Jasmiah Abdul Hamid barangkali ada tertanya-tanya siapakah pemilik nama tersebut. Namun jika menyebut Jasmin Hamid pasti anda akan teringat pada susuk badan gebu yang boleh membawa apa sahaja watak.
Bakat Jasmin mula menyinar selepas membintangi filem Boss biarpun usianya baru menginjak 17 tahun ketika itu. Seterusnya Jasmin terus menyerlah dengan filem dan drama antaranya Minah Senget pada awal 90an, diikuti watak Maria Mercedes yang dipegangnya dalam siri TV Seri Pengantin pada awal 2000.
Malah Jasmin juga berjaya menghiburkan penonton dengan watak Datin Wan Abe menerusi siri komedi tajuk serupa.
Bakat Jasmin mula menyinar selepas membintangi filem Boss biarpun usianya baru menginjak 17 tahun ketika itu. Seterusnya Jasmin terus menyerlah dengan filem dan drama antaranya Minah Senget pada awal 90an, diikuti watak Maria Mercedes yang dipegangnya dalam siri TV Seri Pengantin pada awal 2000.
Malah Jasmin juga berjaya menghiburkan penonton dengan watak Datin Wan Abe menerusi siri komedi tajuk serupa.
Istimewanya Jasmin, biarpun sudah menginjak ke usia 40 tahun, namun dia masih lagi mengekalkan kecantikan sama seperti ketika dia menyertai pertandingan Dewi Remaja 1990/91.
Malah tidak keterlaluan mengatakan, ibu kepada Rohana, 25, Luqman Hakim, 19, dan Ian Haziq, 12, ini mampu menandingi wanita berusia lewat 20-an sehingga menarik perhatian Zass untuk mencungkil rahsia awet mudanya.
Apakah pengertian cantik bagi anda?
Bagi saya kecantikan itu datangnya dari peribadi, kalau peribadi kita cantik secara tidak langsung akan kelihatan pada wajah kita. Tapi jika muka kita cantik, peribadi tak cantik, tatasusila tak cantik, lama kelamaan kecantikan pada wajah kita akan pudar.
Dalam usia 40 tahun, anda masih kelihatan cantik seperti dulu, apa rahsianya?
Alhamdulillah, bagi saya ia satu pujian untuk saya tetapi saya tidak amalkan apa-apa rahsia cuma menjaga pemakanan dan kerap melakukan senaman untuk mengekalkan kelangsingan tubuh badan. Apatah lagi bila usia semakin meningkat, metabolisme kita semakin menurun.
Pernahkah anda mengalami masalah berat badan?
Tentu sekali, selepas bersalin anak ketiga pada 2001, saya ambil masa setahun untuk mendapatkan kembali berat badan ideal saya.
Bagaimana cara anda mengatasi masalah tersebut?
Saya bukan hanya mengamalkan diet, tetapi saya juga mengamalkan senaman seiring dengan diet. Apatah lagi, bila kita bersalin, metabolisme kita tidak sama ketika kita masih anak dara. Jadi perlukan usaha yang berganda untuk mendapatkan kembali berat ideal.
Boleh anda kongsikan rutin pemakanan kini?
Jika sesetengah wanita tidak mengambil nasi untuk kekal langsing, berbeza pula dengan saya yang perlu makan nasi. Tapi saya ambil dalam kuantiti yang sedikit dan saya hanya makan nasi sekali sehari. Pernah saya tidak makan nasi, akhirnya badan saya menggigil.
Dalam seminggu berapa kali anda akan bersenam?
Biasanya saya akan bersenam tiga kali seminggu dan akan memperuntukkan dua jam untuk bersenam. Jika saya ada masa, saya biasanya akan ke gimnasium untuk bersenam. Jika tidak saya akan bersenam di rumah sahaja, lagipun jika kita bersenam di rumah, kita tahu apa kelemahan atau bahagian mana yang perlu kita turunkan.
Ada sesetengah artis gemar melakukan suntikan untuk kekal cantik, anda bagaimana?
Hal-hal suntikan agak peribadi untuk saya kongsikan tetapi saya amat menitik beratkan penggunaan produk pada muka. Selain itu saya akan makan vitamin, jamu dan herba untuk memastikan kulit saya kekal cantik dan halus.
Adakah anda gemar melakukan facial?
Saya jarang melakukan facial apatah lagi saya memiliki kulit yang sensitif. Jadi bila betul-betul perlu baru saya buat.
Bagaimana pula dengan spa dan salun?
Saya memang gemar ke spa kerana saya suka lakukan lulur badan akupunktur tapi ia juga bergantung kepada masa saya. Jika ada masa barulah saya ke spa. Salun pula, pasti tiga kali seminggu. Ini kerana bila saya ada penggambaran, rambut selalu di 'blow' dan ada ketikanya perlu mewarnakan rambut. Jadi saya akan selalu ke salun untuk memastikan rambut saya terhindar daripada sebarang masalah.
Dalam sebulan, berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan wajah dan badan?
Kos tersebut bergantung kepada keadaan dan seberapa kerap saya ke spa, salun dalam bulan itu. Tapi selalunya saya akan belanjakan RM1,000 untuk membeli produk penjagaan wajah, vitamin dan suplemen.
Setiap orang pasti mengalami tekanan, bagaimana cara anda mengatasi tekanan?
Biasanya saya akan cari sahabat untuk saya luahkan segalanya. Kemudian saya akan ke gimnasium, bila kita banyak bersenam dan angkat alatan yang berat, secara automatik tekanan itu atau rasa marah itu akan reda dengan sendirinya. Selain terapi yang sihat, ia juga akan membuatkan tubuh kita lebih sihat.
Pada masa lapang, apa yang anda gemar lakukan?
Memandangkan waktu kerja saya tidak menentu, jadi jika ada masa terluang, saya gemar meluangkan masa bersama anak-anak, masak untuk mereka, bawa mereka berjalan-jalan dan makan.
Apa perkembangan terkini anda?
Saya kini sedang menjalani penggambaran Mr. Perfect 10 bersama Global Station. Itu sahaja.-Sinar harian
0 Komentar untuk "Usia 40 tahun, Jasmin Hamid awet muda"