Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Jangan kaitkan Adi!

“Kenapa perlu kaitkan Adi dalam gosip ini?” itulah antara persoalan yang dikeluarkan isteri pelakon kacak, Adi Putra, Aida Yusof, mengenai satu kenyataan di ruangan gosip akhbar tempatan.

Menerusi ruangan gosip berkenaan, pelakon yang dikatakan berstatus suami orang dan memiliki anak itu gemar menayang alat sulitnya ketika berada di bilik mekap sewaktu penggambaran.

Rata-rata mula membuat andaian dan tidak kurang juga yang mengaitkan Adi dalam perkara ini memandangkan isu skandal yang mula bertebaran sejak awal bulan lalu masih belum selesai.
Adi Putra

Enggan membincangkan perkara itu dengan lebih serius, Aida beranggapan, orang ramai dan masyarakat lebih selesa membuat andaian tanpa mengetahui kesahihan cerita.

“Saya perhati, masyarakat sekarang suka sangat jadi wartawan. Suka melaporkan itu dan ini tanpa mendapatkan fakta jelas.

“Ini adalah gosip yang tidak bernama dan tiada satu klu pun yang boleh mengaitkan Adi. Kenapa pula nak heret Adi dalam perkara ini?

“Saya sendiri tak faham dengan mentaliti masyarakat kita yang suka membuat tuduhan. Namun, ia bukanlah isu besar buat saya dan tidak perlu pening kepala nak fikir pasal perkara tak berfaedah ini,” katanya yang turut mendapat pengesahan daripada Adi mengenai perkara ini.
“Saya ada tanya Adi, namun Adi sendiri malas nak komen. Dia pun malas nak bertikam lidah dengan masyarakat yang tidak tahu apa-apa, tapi senang-senang membuat tuduhan,” tambah Aida.


Ditahan reman?

Bukan sahaja dikaitkan dengan gosip berkenaan, Adi juga dikatakan telah menjalani tahanan reman dua hari lalu ekoran kes skandalnya bersama isteri orang.

Mengeluh nafas panjang, Aida turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan yang dilihat sebagai satu tuduhan tidak berasas.

“Ya Allah, bila masa pula Adi kena tahan reman? Saya tak tahu pun, macam mana tu? Adi baru sahaja pulang dari Singapura dan dia masih bebas ke sana ke mari.

“Saya ada baca mengenai perkara ini di laman sosial. Beberapa individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan bahawa Adi direman dua hari dan bakal dipenjarakan lima tahun.

“Bagaimana mereka semua tahu tentang perkara ini sedangkan pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi? "Saya pelik lah dengan orang macam ni. Kalau betul Adi bersalah, kenapa dia masih bebas? Kes gangguan seksual ni, bukan kes biasa.

“Saya tak tahu nak kata apa. Orang luar yang tak tahu apa-apa lebih rancak mengeluarkan kenyataan bagi pihak kami dan polis. Namun, saya faham, mulut orang, bukan boleh tutup. Jadi, biarkan mereka...,” kata Aida yang turut mengakui laporan penuh daripada polis akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Tambah Aida, kes ini sudah hampir selesai dan dia turut dihubungi Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Ruslan Hassan, bagi memaklumkan mengenai perkara ini.

“Saya dimaklumkan, laporan penuh telah pun siap dan saya harap, ianya dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Insya-ALLAH, minggu depan kita akan tahu keputusan mengenai kes ini. Saya harap, peminat Adi dan masyarakat bersabar,” katanya lagi.


Sediakan kenyataan media

Enggan mengganggu urusan polis dalam menyelesaikan kes tersebut, Aida memberitahu bahawa sebaik sahaja perkara ini selesai, mereka akan tampil memberi kenyataan.

Katanya, seperti yang dijanjikan sebelum ini, Aida dan Adi akan menyediakan satu kenyataan media untuk membersihkan nama.

“Insya-ALLAH, bila semua dah selesai, kami akan mengeluarkan kenyataan media sebagai penjelasan mengenai perkara ini.

“Kenyataan ini diharapkan dapat menjawab segala teka-teki dan andaian liar yang dicipta sebelum ini.

“Saya harap semua dapat bersabar dan saya mengharapkan penyelesaian yang terbaik dalam kes ini,” katanya mengakhiri perbualan.-Sinarharian
0 Komentar untuk "Jangan kaitkan Adi!"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info