“PADA saat saya bersedia menjadi seorang suami, maka saya juga telah bersedia menjadi seorang bapa.” Begitulah ungkapan ringkas tetapi tegas yang terpacul dari mulut pelakon dan penyanyi, Izzue Islam ketika ditebak persoalan tentang persediaan dirinya menjadi seorang bapa.
Bagaimanapun, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan belum lagi punya rezeki untuk dikurniakan cahaya mata.
Ketika bersua dengan pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini pada majlis sidang akhbar Safirgotravel.com anjuran syarikat pelancongan Safirfotravel, Izzue mengakui bahawa dia dan isteri yang juga merupakan pengurusnya itu, tidak pernah menolak jika diberi rezeki awal untuk menambah bilangan ahli keluarga.
“Belum lagi ada tanda-tanda untuk menambah bilangan ahli keluarga. Bagaimanapun, kami tidak membuat apa-apa perancangan dan biarkan rezeki menentukan serta tidak kisah cepat atau lambat. Saya juga tidak kisah jika dikurniakan anak yang ramai.
“Insya-Allah semuanya terpulang kepada rezeki Allah. Mungkin kini kami terlalu sibuk kerja. Saya juga memang sukakan kanak-kanak kerana kebetulan saya anak bongsu bersama ibu pertama.
“Namun, saya punya adik tiri seramai enam orang. Saya memang sangat rapat dengan mereka,” bicara Izzue yang sudah hampir dua bulan berkahwin dengan Awin Nurin.
Selain itu, menurutnya, tidak dinafikan hidupnya lebih teratur dan mudah kerana sudah punya isteri yang dapat menguruskan jadualnya dan perbincangan tentang kerja juga dapat dilakukan di rumah sahaja.
Akuinya juga, setelah bergelar seorang suami, dirinya semakin matang terutama tentang disiplin diri.
Mengungkap tentang pengalaman melancong ke luar negara, bicara Izzue jujur, sebelum berkahwin, dia memang tidak pernah ke luar negara.
“Kali pertama saya ke luar negara pada Julai lepas iaitu ketika mengadakan persembahan bersama Forteen di Singapura.
Selepas berkahwin, rezeki datang lagi dan saya pergi bersama isteri ke Bangkok untuk program Romantika. Kini, dia bakal ke Disneyland, Hong Kong dan Macau.
“Saya orang susah bukan orang kaya. Jadi, untuk pergi ke luar negara itu perlu usaha lebih sedikit kerana saya tahu untuk ke luar negara memerlukan wang yang banyak. Oleh tu, saya hanya pergi ke luar negeri sahaja,” tutur Izzue tentang pengalamannya.
Bercerita tentang tawarannya ke Disneyland, Hong Kong dan Macau, Izzue telah dipilih untuk melancong bersama peminat oleh agensi pelancongan Safirgotravel.com pada tarikh 15 hingga 20 Disember depan.
Jelas Izzue, dia memang teruja ingin melancong ke luar negara memandangkan ini kali pertama juga dia ke destinasi tersebut, tambahan pula apabila bersama peminat.
“Pada mulanya saya ditawarkan pakej ini saya sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama saya ke Hong Kong dan Macau.
“Maklumlah, sebelum ini hanya sering dengar cerita orang. Bila dengar, pernah juga rasa teringin dan simpan impian untuk merasa semua itu.
“Alhamdulillah, saya dapat rezeki pergi melancong dan pakej yang ditawarkan itu juga hampir penuh kerana tempat yang ditawarkan hanya sebanyak 40 sahaja,” bicara Izzue.
Antara artis lain yang turut sama terpilih untuk menyertai pakej pelancongan bersama peminat oleh Safirgotravel ini ialah Zizan Razak dan Johan As’ari (Abu Dhabi dan Dubai) Imam Muda Asyraf (Jawa Tengah, Timur dan Barat) serta Jaafar Onn (Hyderabad, India).
Menurut Pengarah Pemasaran dan Jualan, Muhamad Abd. Latif, selain dapat melancong, orang ramai juga dapat beramah mesra dan bercuti bersama artis kegemaran mereka.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pakej boleh hubungi 03-89204090, 03-89203040 atau layari laman web www.safirgotravel.com.
-Kosmo
0 Komentar untuk "Izzue sedia jadi bapa"