Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Selekoh ragut dua beradik

Gerik: Dua beradik perempuan berusia 20 dan 26 tahun yang dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di Kelantan menjadi antara mangsa terawal ‘korban Aidilfitri’ selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik - Jeli, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, Taqwa Munira Abdullah dan kakaknya, Maala Munira Abdullah terbunuh di tempat kejadian apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki bertembung dengan sebuah kereta Toyota Prius dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun.

Imej Hiasan

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Jalan Masjid Lati, Pasir Mas, Kelantan.

Menurutnya, kereta dipandu Maala Munira berpusing dan melintang di tengah jalan raya sejurus perlanggaran berlaku.

“Pertembungan menyebabkan kedua-dua beradik terbabit tersepit berikutan kenderaan remuk. Anggota Bomba dan Penyelamat Gerik mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan tubuh meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Prius berkenaan.

“Kemalangan berlaku di kawasan selekoh menuruni bukit. Hujan ketika kejadian menyebabkan jalan licin dan dipercayai turut menjadi punca kemalangan,” katanya.

Abdul Manab berkata, lapan kes kemalangan dilaporkan berlaku antara jam 8 pagi dan 3 petang semalam termasuk kejadian kereta terbabas masuk ke dalam parit besar.

“Jalan JRTB saja mencatatkan sebanyak enam kes dan masing-masing satu di Jalan Gerik - Kupang, Kedah dan Gerik - Kuala Kangsar,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan JRTB sentiasa berhemah ketika memandu dan tidak memandu laju berikutan keadaan jalan yang licin dan berbukit.

“Trafik di JRTB juga semakin sibuk pada Aidilfitri tahun ini apabila kenderaan bertambah sekali ganda berbanding sebelum ini yang menyebabkan risiko kemalangan tinggi jika tidak memandu dengan berhati-hati,” katanya.

-Hmetro
0 Komentar untuk "Selekoh ragut dua beradik"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info