MELIHAT laman Instagram pelakon cantik ini mesti ramai yang sedar kebelakangan ini Nora Danish sering menyelitkan gambar seorang lelaki. Setelah diperhatikan, kebanyakan komen yang diberikan peminat berkisar apakah hubungan sebenar Nora dengan lelaki itu.
Menjawab persoalan tersebut, Nora sebenarnya langsung tidak menyalahkan sesiapa apabila kononnya kisah dia sedang dilamun cinta terus-terusan diperkatakan.
"Sebenarnya Nora tidak salahkan orang lain untuk bertanya. Memang benar lelaki bernama Nadeem itu rapat dengan Nora dan keluarga sejak akhir-akhir ini.
"Kami kenal sudah tujuh tahun. Memang dia seorang rakan lelaki yang rapat," katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Syawal TV3 baru-baru ini.
Menjawab persoalan sama ada hubungan rapat ini menjurus kepada cinta, bagi Nora ia terlalu jauh untuk diperkatakan buat masa sekarang.
Bagaimanapun, sebagai wanita, Nora mengakui dia amat selesa ketika bersama Nadeem. Cuma barangkali belum sampai waktunya untuk dia beralih ke alam perkahwinan buat masa ini.
"Tidak nafikan jika suatu hari nanti hati saya sudah terbuka untuk berkahwin kembali, Nadeem memang ada ciri-ciri suami yang saya cari.
"Namun saya memang belum terfikir soal kahwin buat masa sekarang. Bagi saya menjadi isteri bukan soal mudah," katanya.
Sebenarnya sewaktu hubungan ini terus diperkatakan, ada juga komen-komen pedas yang terus dikeluarkan peminatnya yang tidak mahu Nora terlalu rapat dengan Nadeem.
Melalui komen-komen yang ditulis semuanya berkaitan dengan kononnya perangai sebenar lelaki muda itu. Mengenalnya dari sisi sebenar, Nora percaya Nadeem mempunyai nilai lelaki yang dicari.
"Benarlah kata orang, kalau kita tak kenal maka tak cinta. Apa yang ingin saya sampaikan disini, mengenali Nadeem dia bukan seperti yang dikatakan.
"Dia seorang yang baik , dan antara sifat Nadeem yang Nora suka adalah suka memberi nasihat," katanya.
Menurut Nora, memandangkan Nadeem juga merupakan seorang ayah menjadikan hubungannya dengan anak tunggal pelakon cantik itu rapat.
"Dia juga seorang ayah, jadi hubungannya dengan Rayqal memang tidak ada masalah. Rayqal juga selesa dengannya,"katanya yang dilihat semakin bijak dalam soal fesyen dan penampilan.
-Utusan
0 Komentar untuk "Nadeem selesa dengan Rayqal"