Kejadian kira-kira jam 4 petang berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Klang ke Banting cuba memasuki lorong kanan namun hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, pemandu yang berusia 33 tahun itu secara tiba-tiba memasuki lorong kanan bergesel dengan kenderaan jenis Suzuki Swift sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Honda Civic.
“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu Honda Civic terbabas lalu bertembung pula dengan kereta jenis Cherry dari arah bertentangan lalu terbalik di laluan menghala ke Klang.
“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu memberi bantuan melancarkan perjalanan lalu lintas” katanya.
Nordin berkata, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Banting.
Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59 kepada pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux yang menyebabkan kemalangan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemandu jalan raya supaya meningkatkan keselamatan jalan raya terutama apabila menggunakan laluan lurus.
Katanya, tindakan mengubah laluan sesuka hati bakal mengundang kemalangan yang teruk.-Sinar harian
0 Komentar untuk "Empat pemandu nyaris maut"