Hampir dua minggu tayangannya, ternyata kutipan filem Adnan Sempit 3 terbitan Metrowealth Pictures atau MIG tidak mengecewakan apatah lagi dalam pasaran masa kini, masih mampu meraih hampir RM4 juta.
Menetapkan sasaran awal iaitu RM10 juta berikutan sambutan hebat pada sekuel sebelum ini, pemilik MIG David Teo bagaimanapun tidak mahu berduka dan akur pasaran tempatan masih belum pulih sepenuhnya.
Sebaliknya, dia cukup lega biarpun tidak mencapai sasaran asal RM10 juta, namun sudah meletakkan sasaran minimum iaitu RM4 juta pastinya tercapai apabila tayangan filem berkenaan dilanjutkan lagi seminggu sehingga 28 Ogos ini.
“Saya sebenarnya sudah cukup puas hati memandangkan dalam pasaran lembap sebegini pun, filem itu berjaya meraih kutipan yang tidak mengecewakan dan sebenarnya hampir melepasi sasaran minimum saya.
“Saya sebenarnya sudah cukup puas hati memandangkan dalam pasaran lembap sebegini pun, filem itu berjaya meraih kutipan yang tidak mengecewakan dan sebenarnya hampir melepasi sasaran minimum saya.
BARISAN pelakon Adnan Sempit 3 ceria bersama David.
“Lagipun, sasaran RM10 juta itu pun adalah daripada segi kutipan di pawagam dicampur dengan tayangannya di Astro First kelak. Sebaik tamat tayangan di panggung, filem itu akan terus ditayangkan pula di Astro First mulai 29 Ogos nanti,” katanya.
Tiada tekanan malah sudah cukup gembira filem itu bolos untuk slot tayangan pada sambutan kali ini, menurutnya buat masa sekarang dia yakin filem itu mampu mencapai sekurang-kurangnya RM6 juta secara keseluruhannya.
“Saya bukan mahu berbangga namun kutipan sebelum ini menjadi penanda aras bahawa filem Adnan Sempit mempunyai kekuatan tersendiri malah untuk sekuel terbaru, ceritanya lebih menarik dan mencabar.
“Oleh itu, saya tidak mahu menaruh harapan sangat tapi yakin sasaran kutipan bakal mencecah RM6 juta meskipun kurang berbanding sebelum ini iaitu RM8.5 juta,” katanya.
Diperhebatkan lagi terutamanya daripada konsep serta keluasan ruang cerita itu sendiri, menurut David kelainan sebegitu yang menjadi tunjang filem ketiga berkenaan itu kali ini.
“Berbanding sebelum ini di mana garapannya lebih ringan, untuk yang terbaru ini pelbagai konflik diwujudkan di mana Adnan, Bobby, Nadia dan Wawa melangkah ke fasa berumah tangga di mana kehidupan serta tanggungjawab lebih mencabar,” katanya.
Mengenepikan kerisauan dan biar penonton sendiri menilai nanti, David juga cukup teruja mengenai penggambaran untuk sekuel keempat filem itu pula yang akan memulakan penggambaran selepas raya nanti.
Lebih mencabar dan membawa kelainan di mana plot ceritanya dibawa pula ke luar negara iaitu di Bangkok, Thailand, menurutnya daripada situ kematangan filem ini akan lebih terserlah.
“Turut membabitkan beberapa pelakon Thailand, kisah ini bakal dikembangkan pula di mana wujud konflik di mana rumah tangga Adnan diduga selepas berjauhan dengan Nadia.
“Saya tidak mahu bercerita lebih-lebih dan cuma menjanjikan filem keempat itu lebih berbeza di mana 80 peratus penggambarannya akan dijalankan di Bangkok,” katanya.
Tetap lahir bakat baru
Melihat prestasi pasaran filem tempatan kebelakangan ini, MIG tidak terkecuali mendapat tempias di mana berbanding tahun sebelum ini, David mengakui keuntungan 2013 sudah perlahan.
Bagaimanapun, sinonim dengan syarikatnya yang sering rekrut wajah baru dalam memeriahkan lagi industri, menurutnya dia tidak akan berhenti berkarya.
Namun, berbeza sebelum ini, David sudah ada piawaian terbaru bagi tujuan itu dan tidak lagi mahu terlalu longgar dalam pemilihan bakat naungannya.
“Sejak 2001 lagi, MIG sudah melakukan konsep ini di mana kami menyediakan platform untuk pelakon baru yang berpotensi akan diketengahkan dalam industri lakonan.
“Bagaimanapun, jika sebelum ini pelakon dipilih ramai terdiri daripada pelawak, kali ini saya akan mulai mencari pelakon yang mempunyai pakej tampan dan cantik untuk projek akan datang,” katanya.
Tidak terkecuali, pasaran filem yang agak lembap sekarang juga bukan penghalang buatnya untuk melunaskan hasrat melancarkan filem ke-100 MIG pada tahun ini.
Menurutnya, pemilihan filem ke-100 itu bagaimanapun masih dalam perbincangan dan sudah menyenaraikan filem yang bakal dipilih untuk mengisi misi itu. -Hmetro
0 Komentar untuk "Adnan Sempit 3: RM6 juta pun sudah OK!"