Lelaki itu yang turut rentung dalam kejadian jam 5 petang dipercayai mencurahkan petrol ke lantai rumah teres terbabit sebelum menyalakan pemetik api selepas gagal menemui bekas isterinya di rumah berkenaan.
Mereka yang rentung ialah gadis orang kelainan upaya (OKU), Izah Nurfarahana Othman, 23; kanak-kanak tiga tahun, Maliki Hani Abdullah dan suspek berusia 30 tahun.
Dua lagi mangsa, Nur Izatul Fazreen Othman, 33, (kakak Izah Nurfarhana) yang mengandung lima bulan dan Nur Shafiqa Abu Sari, 18, melecur teruk dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rashid, berkata polis sedang menyiasat motif kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Kota Tinggi, Mohd Suhaimi Abdul Jamal, berkata siasatan awal forensik mendapati ada unsur khianat dalam kejadian itu dan Unit Pengesan K9 dari Kuala Lumpur akan tiba hari ini bagi membantu siasatan.
Lelaki berang curah petrol
Difahamkan, seorang mangsa yang melecur, mendakwa kebakaran berpunca daripada mangsa lelaki yang berang selepas gagal menemui bekas isterinya di rumah berkenaan.
Dakwanya, lelaki itu yang juga bekas iparnya bertindak mencurahkan petrol ke lantai rumah teres terbabit sebelum menyalakan pemetik api yang dibawanya sebelum api menyambar dan merebak dengan pantas, sehingga suspek turut terperangkap.
Pemilik rumah itu, Fauziah Rajab, 50, yang ketika kejadian tiada di rumah kerana urusan di luar, terkejut apabila mendapati rumahnya sedang terbakar sejurus pulang.
Jirannya, Noraini Omar, 41, berkata beliau mendengar jeritan mangsa yang terperangkap dan meminta tolong ketika hendak keluar bekerja jam 5 petang.
“Saya menjerit meminta bantuan jiran lain yang membawa hos getah menyembur air ke arah rumah mangsa, manakala seorang lagi menghubungi bomba,” katanya.
Hasil bantuan penduduk, Nur Izatul Fazreen dan Nur Shafiqa berjaya diselamatkan menerusi pintu belakang tetapi melecur teruk.
Ibu saudara Izah Nurfarahana, Fadillah Rajab, 41, berkata beliau tidak menyangka kemurungan Ain (Izah) ketika dihantar ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kota Kecil pagi semalam, menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Kebiasaannya Ain seorang periang dan gemar menyanyi tetapi pagi tadi (semalam), dia mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke PDK,” katanya.
0 Komentar untuk "Tiga rentung disyaki angkara khianat"