KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2013: Usaha pihak Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), untuk mendamaikan aktres Rita Rudaini bersama sebuah syarikat produksi baru menemui jalan buntu apabila produksi tersebut tetap dengan pendirian mereka untuk menyaman Rita.
Ini berikutan dakwaan produksi tersebut yang menyatakan Rita telah melanggar kontrak perjanjian apabila meninggalkan penggambaran sebuah drama episod yang dijangka tamat bulan ini.
Menerusi laporan akhbar Harian Metro hari ini, Pengerusi Biro Aduan dan Undang-Undang SENIMAN iaitu Zahrin Ishak berkata pihak produksi itu tetap juga mahu menyaman Rita dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM100,000.
Menurut Zahrin, usaha pihak SENIMAN untuk mendamaikan kedua-dua pihak gagal kerana pendirian tetap produksi itu dan tiada apa lagi dapat dilakukan pihaknya pihaknya untuk menyelesaikan isu ini secara baik.
Penghujung April lalu, Rita telah mengadu masalahnya kepada SENIMAN apabila diminta membayar ganti rugi RM100,000 oleh sebuah produksi selepas dia menarik diri daripada penggambaran drama episod yang dijangka tamat bulan ini.
Menurut Rita, sebelum membuat keputusan tersebut, dia terlebih dulu telah mengadakan perbincangan bersama produksi itu selain menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap cara kerja yang dipamerkan pihak produksi terbabit.
Sebaliknya dia pula diugut untuk meminta ganti rugi jika dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan penggambaran.
Ini menyebabkan Rita membuat aduan kepada pihak SENIMAN namun pertemuan yang diatur oleh pihak SENIMAN terhadap kedua-dua pihak tidak menunjukkan perkembangan positif apabila ia hanya dihadiri pelakon itu sahaja.
"Pihak produksi tidak hadir pertemuan lalu dan mereka menyatakan hasrat untuk tetap menyaman Rita.
"SENIMAN sudah berusaha sebaik mungkin membantu Rita, namun gagal. Kini terpulang kepada dia untuk mengambil peguam sendiri atau mendapatkan peguam SENIMAN," katanya ketika dihubungi, semalam.
-Murai
0 Komentar untuk "Produksi Tetap Akan Saman Rita Rudaini RM100,000"