RAWANG: Ketika kecoh isu keluarga Redzwani Puteri, 25, iaitu tunang kepada pelakon Shahrizal Jaszle, 25, memutuskan pertunangan, pasangan tersebut tetap merancang untuk mendirikan rumah tangga.
Shahrizal berkata, pertunangan yang diputuskan itu hanyalah keputusan keluarga dan ia bukan atas kehendaknya dan Puteri.
"Yang bercintanya adalah kami, Keputusan memutuskan pertunangan itu datangnya daripada pihak keluarga dan bukannya daripada kami.
"Apa yang saya dan Puteri hanya mampu buat adalah reda sahaja dan berdoa agar perhubungan kami dan keluarga kembali pulih," katanya.
Shahrizal ditemui ketika menjalani penggambaran drama Iman Nabila arahan Shuhaimi Lua yang diadakan di Templer Park, di sini petang Jumaat.
Kisah pasangan tersebut menjadi kontroversi apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis lalu mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat anaknya pada November depan.
Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.
Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.
Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan khalwat mereka bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.
Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Berikut ini temu bual mStar Online dengan Shahrizal dan Redzwani Puteri yang diadakan secara berasingan untuk menjelaskan sendiri kemelut hubungan mereka serta isu putus tunang yang semakin menjadi kontroversi.
‘KAMI MASIH BERJUMPA’ – SHAHRIZAL JASZLE
Masih lagi berjumpa dengan Puteri sejak putus tunang?
Kami masih lagi berjumpa untuk menyelesaikan masalah kami. Dan memang keluarga telah memutuskan pertunangan ini tetapi kami masih lagi menjalani rutin biasa (berhubung).
Sebelum ini cinta kalian mendapat restu keluarga daripada kedua-dua belah pihak tetapi ia sudah bertukar menjadi cinta terhalang. Kamu rasa?
Bagi saya, yang bercinta adalah kami. Memanglah apabila dah jadi macam ini (isu kes khalwat), saya tak boleh nak buat apa-apa. Kami reda sahaja.
Pernah berjumpa dengan keluarga Puteri memujuk mereka supaya anda diterima?
Sudah. Tapi saya tak boleh nak paksa orang untuk mempercayai saya. Biarlah saya memberi fokus kepada perbicaraan kes khalwat yang akan berlangsung pada 12 November ini. Kemudian barulah kita lihat apa yang akan terjadi.
Difahamkan kalian mahu berkahwin pada tahun depan, lebih awal daripada yang dirancang (2015). Apabila berlaku pula dugaan sebegini, kecewa tak?
Memang kami rancang mahu kahwin lebih awal, tetapi kerana perkara seperti ini saya reda dan anggap ia adalah dugaan buat kami. Apa-apa pun saya mahu tunggu kes khalwat selesai.
Apa yang kamu harapkan dalam perhubungan ini?
Saya pun tak tahu nak cakap macam mana? Cuma saya mahu perhubungan kami akan jadi lebih baik.
Shahrizal... anda sayangkan Puteri?
Mestilah sayang. Saya cintakan dia sepenuh hati saya. Tetapi tak boleh nak buat apa-apa apabila keluarga yang memutuskan pertunangan ini. Saya dan Puteri tidak terima dengan keputusan itu. Yang bercintanya adalah kami.
Mungkin mereka (keluarga Puteri) memutuskan pertunangan kalian kerana emosi? Yelah, sebagai ibu-bapa, mereka pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak.
Entahlah. Mungkin mereka tak percayakan saya.
Khamis lalu, kalian ada berbalas mesej di Twitter. Adakah mesej tersebut sengaja dibuat kerana mahu menunjukkan yang kalian masih lagi berbaik?
Tak juga. Kami berbalas mesej Twitter secara spontan sahaja. Macam sebelum ini juga.
Kata-kata akhir daripada kamu?
Saya harap tiada lagi mana-mana pihak selain keluarga masuk campur urusan kami. Berhentilah mengganggu perhubungan kami.
SAYA TERPAKSA IKUT KEHENDAK IBU - REDZWANI PUTERI
Redzwani Puteri yang dihubungi menerusi WhatsApp pula berkata, dia mengakui ibunya telah membuat keputusan untuk memulangkan semula cincin pertunangannya kepada keluarga Shahrizal.
Walaupun bukan dengan kerelaan hatinya, sebagai anak, dia terpaksa akur permintaan ibu yang mahu memutuskan pertunangan tersebut.
"Saya dan Shahrizal memang tiada masalah. Tetapi sebagai anak saya perlu menghormati keputusan kedua-dua ibu bapa saya. Kerana untuk meneruskan perhubungan ini, restu itu sangat penting," ujarnya.
Komen Putri berhubung dengan isu kalian sudah putus tunang?
Memang ikatan pertunangan kami dah putus tetapi atas kehendak keluarga dan bukan kerelaan kami. Saya dan Shah (Shahrizal) tidak ada masalah. Kami masih baik.
Jika dahulu cinta kamu dan Shahrizal direstui, tetapi ia sudah berubah. Adakah ini dikira cinta terhalang?
Susah nak cakap. Hati dan perasaan susah untuk dikawal. Tetapi saya perlu hormat keluarga saya. Jadi sekarang ini saya mampu berserah saja.
Selepas keluarga memutuskan ikatan pertunangan, masih lagi berjumpa dengan Shahrizal?
Ya, masih. kami berjumpa untuk menyelesaikan isu ini.
Sayangkan Shahrizal lagi?
Ya. Saya tak mahu tipu tentang hal itu. Bukan senang untuk tiba-tiba berhentikan perasaan cinta itu. Lebih-lebih lagi kami sebelum ini adalah kawan baik dan kemudian bertukar menjadi cinta. Ia bukan satu benda yang mudah untuk dilupakan. Tetapi pada masa sama saya perlu menghormati keluarga.
Sedih apabila hal ini berlaku?
Siapa yang tak sedih? Alhamdulillah saya boleh kawal perasaan apabila berdepan dengan orang. Cuma apabila ada yang bertanyakan tentang perhubungan kami, perasaan sebak itu akan timbul.
Jadi apa perancangan Puteri selepas ini?
Buat masa ini keadaan masih lagi tegang. Apa yang saya boleh buat cuma berdoa sahaja. Saya percaya, jika kami ada jodoh takkan ke mana.
Risau perhubungan kalian tak menjadi?
Saya serahkan kepada takdir.
Adakah dugaan ini menguatkan lagi cinta kalian?
Ia membuatkan kami berdua lebih memahami diri masing-masing dan menguatkan lagi diri kami.
Kata-kata akhir daripada Puteri?
Saya hanya mampu berdoa yang terbaik. Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua pihak media yang tidak dapat berhubung dengan saya untuk mendapatkan kenyataan. Masa itu saya belum bersedia lagi. Tetapi saya sedar satu hari nanti saya tetap akan berdepan dengan semua.
-Mstar Online
0 Komentar untuk "Shahrizal Jaszle & Tunang Mahu Kahwin, Tunggu Marah Keluarga Reda"