PETALING JAYA: Seorang pelakon baharu yang mendakwa dicabul oleh seorang pengarah drama pada minggu lalu berasa lega apabila individu itu ditahan polis pada Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Pelakon yang mahu dikenali sebagai Ffarrah Ismail, 23, berkata, dia menganggap maruahnya terbela dengan penahanan itu dan berharap kes cabul tersebut dapat dilaksanakan seadil mungkin agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.
"Apabila mendapat tahu dia ditahan, saya rasa maruah saya akhirnya terbela selepas beberapa bulan saya simpan rahsia ini kerana terlalu takut. Sekarang ini ia sudah pun menjadi kes polis dan kita tunggu sahaja apa akan berlaku," katanya.
Ffarrah ditemui pada sidang media khas anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang ingin membela nasib pelakon baharu itu di Plaza Damansara, di sini, Khamis.
Bagaimanapun wanita ini memohon agar wajahnya dikaburkan semata-mata ingin mengelak daripada menjadi perhatian ramai.
Turut hadir Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Pada 17 Jun dan 23 Jun lalu, Ffarrah telah membuat laporan masing-masing di Balai Polis Mutiara Damansara di sini dan Tampin, Negeri Sembilan dengan mendakwa seorang pengarah drama berusia 60-an yang memegang jawatan dalam sebuah persatuan seni telah mencabulnya ketika di lokasi penggambaran.
Dalam penggambaran yang dijalankan awal bulan Januari lalu di Tampin itu, Ffarrah mendakwa telah dicabul beberapa kali dan turut dipaksa menjadi pembantu peribadi pengarah itu bagi memudahkan dia mengambil kesempatan.
Tambah Ffarrah, dia tidak menyangka banyak cabaran yang perlu dilaluinya untuk bergelar seorang pelakon.
Sementara Freddie berkata, pihaknya akan membantu Ffarah dalam memastikan dia tidak membuat sebarang tindakan melulu selain akan memberi pandangan daripada aspek perundangan untuk kes tersebut.
"Sebagai persatuan yang membantu artis-artis negara ini, pihak kami ingin menolong Ffarrah dalam menyelesaikan masalahnya dengan menghulurkan bantuan guaman selain memberikan khidmat nasihat kepadanya," kata Freddie.
Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan seorang pengarah drama telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul selepas mendapat laporan daripada pelakon baharu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, pengarah tersebut ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah itu bagi membantu siasatan berhubung laporan berkenaan.
Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
0 Komentar untuk "Pelakon Baharu Rasa Lega 'Pengarah Cabul' Ditahan"