Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

Ku Li: 'Jangan jadikan rakyat mangsa'

KUALA LUMPUR -  "Kerajaan sepatutnya menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat, bukan melepaskannya ke bahu rakyat." Itu kata bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mengulas langkah pengurangan subsidi harga minyak diesel dan RON95 yang diumumkan Perdana Menteri, Isnin lalu.

Menurutnya, apa yang paling utama perlu ditangani segera ialah gejala rasuah yang merupakan masalah terbesar dalam pentadbiran negara hingga menjejaskan rakyat.

  "Amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang yang banyak. Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripadanya," katanya.

Tengku Razaleigh Hamzah

Menurutnya, kerajaan membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat daripada kos projek yang terlalu mahal.

"Ini tak boleh diteruskan lagi. Kerajaan sepatutnya kena tanggung dan selesaikannya," tegasnya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau  berkata, banyak masalah akan dapat diselesaikan jika gejala rasuah diatasi.

"Kita tak boleh main-main dengan isu rasuah. Perlu tindakan yang bersungguh-sungguh," katanya.

Antara langkah yang menurut beliau boleh memberi kesan dalam usaha itu termasuk semua pemimpin kerajaan daripada menteri dan bekas menteri mengiystiharkan harta masing-masing.

"Ini termasuk juga isytihar duit (wang simpanan). Saya sendiri akan isytihar (walaupun sudah lama tidak jadi menteri)," katanya.

Selepas itu, kata Ku Li, biarlah rakyat yang menentukan kedudukan mereka.

"Sebab kita semua (pemimpin) milik rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kedudukan ekonomi negara yang tidak menunjukkan perkembangan baik sejak krisis ekonomi dunia tahun 2000.

"Melihat perkembangan ini, saya bimbang negara akan alami krisis ekonomi lebih serius jika kerajaan tak ambil langkah berjaga-jaga," tegasnya.

Mengulas mengenai pengurangan subsidi minyak, beliau mencadangkan supaya kerajaan turut memotong subsidi yang diberikan kepada industri termasuk penjana tenaga bebas (IPP).

“Sesetengah industri diberikan subsidi yang terlalu banyak. Ini perlu dikurangkan segera dan kita tak boleh bertoleransi lebih lama lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun melihat pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen adalah wajar kerana melihat kerajaan tidak boleh menanggung beban subsidi terlalu lama ketika berada tekanan ekonomi global semasa yang semakin mendesak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas isu yang sama, baru-baru ini berkata, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan untuk menurunkan kadar defisit belanjawan negara yang mencecah 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Mengikut rekod, Malaysia mencatatkan belanjawan defisit secara berterusan sejak 11 tahun lalu.

Menurut Dr Mahathir, dengan penjimatan, barulah kerajaan mampu untuk menanggung subsidi yang tinggi kepada rakyat.

"Seperti yang kita tahu, negara kini mengalami defisit. Kita pinjam terlalu banyak wang," katanya.

Fitch Ratings pada Julai lalu menurun prospek ekonomi Malaysia daripada stabil kepada negatif.-Sinar harian
0 Komentar untuk "Ku Li: 'Jangan jadikan rakyat mangsa'"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info