Sana-Sini Info

Share Latest News Update!!

'Abang nak bantu ibu'

  • 'Abang nak bantu ibu'Rohaina memerhatikan anak-anaknya termasuk bersama keratan akhbar yang menyiarkan kisah menimpa suaminya.
 1 / 1 
MARANG – “Abang akan belajar rajin-rajin, nak bantu ibu dan bila besar nanti nak jadi anggota bomba macam ayah,” kata Mohd Faris Akram, 9, anak sulung mangsa letupan gas, Mohd Fauzi Harun, 33, yang meninggal dunia pada 4 Jun lalu.

Arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari bertarung nyawa akibat anggota badannya melecur 88 peratus terkena letupan gas dalam kejadian di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga bekas anggota jabatan bomba dan penyelamat mahu memeriksa kebocoran gas di restoran tempatnya bekerja di hadapan Plaza Low Yat itu apabila tiba-tiba sahaja ia meletup dan terbakar.

Kematian mangsa secara tiba-tiba, bukan sahaja mengundang kesepian dan kesedihan pada Aidilfitri kali ini, tetapi juga menyebabkan ibu Mohd Faris, Rohaina Mohd Nor, 29, terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga.

Menurut Rohaina, suaminya juga pernah berkhidmat sebagai anggota bomba di Balai Bomba Chow Kit di Kuala Lumpur selama kira-kira 10 tahun sebelum berhenti kerja dan bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota berkenaan.

“Suami hanya sempat bekerja sebagai penyelenggara di restoran terbabit selama empat hari sebelum kejadian letupan gas berlaku dan arwah disahkan meninggal dunia jam 9 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) empat hari selepas itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sambutan lebaran kali ini, Rohaina berkata, ketibaan Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut bersama kedua ibu bapanya dan ia pastinya amat berbeza bagi ibu empat anak ini selepas kehilangan suami tercinta.

“Tiada persiapan berlebihan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana kami sekeluarga masih dalam kesedihan dan terkejut dengan pemergian suami terutama anak-anak saya yang kini sudah tidak mempunyai ayah.

“Malah saya sendiri beritahu anak-anak, kami menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini seadanya sahaja. Saya rasa mereka pun faham dengan keadaan ini,” katanya ketika menerima kunjungan Sinar Harian di rumahnya di Alor Pak Bang, di sini.

Menurutnya, memang terlalu sukar untuknya menerima kenyataan itu pada awalnya tetapi terpaksa tabahkan diri demi anak-anak, malah perlu menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Saya ada empat anak, seorang masih kecil berumur 6 bulan, yang lain ialah Mohd Faris Akram, 9, Mohd Danis, 6, dan Mohd Azrafi, 5. Saya perlu mencari rezeki dan merancang masa depan mereka sebaiknya selepas kematian suami,” katanya.

Rohaina berkata, tumpuan utama ialah menjaga anak bongsunya, Mohd Izzirham di rumah keluarganya, selain menguruskan persekolahan tiga anaknya itu.

“Itu sahaja yang termampu saya lakukan ketika ini, mungkin selepas hari raya, insya-ALLAH saya akan mencari kerja di sini,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai promoter di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.-Sinar harian
0 Komentar untuk "'Abang nak bantu ibu'"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info